JASIN – Seorang peniaga durian di Umbai di sini tampil dengan idea luar biasa apabila menawarkan sebuah kereta jenis Proton Saga baharu bernilai hampir RM40,000 sebagai hadiah utama cabutan bertuah bagi menarik lebih ramai pelanggan ke gerainya.
Pemilik gerai, How Yong Ming, 29, berkata, promosi yang bermula pada awal Jun sehingga 30 Ogos ini kali pertama diperkenalkan sejak dia bersama beberapa rakan kongsi mengusahakan perniagaan durian di tapak tersebut tiga tahun lalu.
Menurutnya, selain Proton Saga, mereka turut menyediakan dua buah motosikal, televisyen, peti sejuk dan hamper dengan nilai hadiah keseluruhan lebih RM50,000 sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan.
“Kami memang sengaja membuat kelainan pada tahun ini, idea ini datang daripada saya dan rakan kongsi untuk menarik lebih ramai pelanggan datang membeli durian.
“Tidak sangka sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Ada pelanggan yang datang ke sini semata-mata sebab mahu mencuba nasib menang kereta, sekali terus beli durian,” katanya ketika ditemui Kosmo! di gerainya hari ini.
Katanya, pelanggan yang berbelanja minimum sebanyak RM100 layak menerima satu kupon cabutan bertuah, manakala pembelian RM300 memperoleh lima kupon dan RM500 pula melayakkan mereka menerima 10 kupon.
“Acara cabutan bertuah akan diadakan pada 30 Ogos ini dengan konsep yang berbeza apabila pemenang hadiah-hadiah kecil akan mencabut nama pemenang hadiah yang lebih besar sehingga hadiah utama berupa Proton Saga,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE














