PETALING JAYA – Dua pelajar tingkatan lima sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di selatan tanah air yang disyaki terlibat dalam kejadian buli, bakal berdepan tindakan tegas iaitu diberhentikan sekiranya benar mereka melakukan perbuatan tersebut.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyuarakan ketegasan tersebut selepas tular dakwaan kejadian buli di sebuah MRSM seperti dikongsikan seorang ibu pelajar dipercayai mangsa buli tersebut.
“Saya telah mendapat maklum balas. Dua pelajar yang disyaki pembuli sedang disoal siasat. Jawatankuasa Disiplin Maktab akan bersidang segera.
“Jika didapati benar, semua pelajar-pelajar ini akan diberhentikan daripada MRSM. Walaupun mereka akan hadapi percubaan SPM tiga minggu lagi, tiada kompromi soal buli. Saya sudah beri amaran #YouTouchYouGo,” katanya.
Beliau memberi maklum balas pada ruangan komen hantaran Threads ibu tersebut yang memaklumkan, anaknya lelakinya terpaksa berhenti di sebuah MRSM di selatan tanah air selepas didakwa menjadi mangsa buli pelajar senior.
Pada komen sebelumnya, Asyraf Wajdi turut memberikan nombor telefon pegawai beliau supaya ibu tersebut memaklumkan dakwaan buli berkenaan untuk disiasat.
“Kenapa tak report (lapor) pada pengetua? Bagi maklumat penuh pada saya. Sepatutnya jangan berhenti. Kalau beritahu saya awal, pasti tiada yang terlepas. Apa-apa pun kena bagi maklumat penuh pada saya,” katanya.
Menerusi hantaran Thread Eja Eerieja, dia mendakwa anak lelakinya mahu berhenti daripada meneruskan persekolahan di MRSM dikatakan kerana tidak boleh memberi fokus kepada pelajaran.
“Berapa ramai lagi anak yang perlu menjadi mangsa sebelum isu buli di asrama dipandang serius? Anak saya telah berhenti MRSM kerana didakwa tidak boleh fokus belajar.
“Dengan berat hati saya tunaikan permintaan anak untuk keluar daripada asrama. Setelah semua urusan selesai, baru anak maklumkan perkara sebenar.
“Anak saya dibuli fizikal, ditumbuk di dada, diterajang di dada dan disiku oleh pelajar-pelajar senior tingkatan lima,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE













