PETALING JAYA – Sebuah premis ayam geprek di Makassar, Indonesia dikecam apabila dikatakan memperkenalkan menu ayam geprek yang dilenyek bersama pencuci mulut tular dari Dubai iaitu Dubai chewy cookie.
Video ayam geprek dilenyek dengan Dubai chewy cookie menggunakan lesung batu gesek itu dimuat naik pada TikTok kedai ayam geprek berkenaan sehingga tular di media sosial.
Bukan hanya rakyat Indonesia, masyarakat Malaysia juga mengecam menu tersebut dengan menyifatkannya sebagai tidak sesuai serta tidak kena dengan tekak.
“Ya Allah, semua benda nak ‘diDubai chewy kan’ pun payah juga,” komen pengguna Threads Irasy4kirah yang memuat naik kembali video itu pada platform tersebut.
“Walaupun kedua-duanya kegemaran saya, tapi kombinasi ni… euwww,” komen Nraqiefz.
“Dah lah, berhenti main dengan makanan. Kalau buat menu macam ni secara logik akal, ada ke orang nak beli? Astaghfirullah,” kata Nrashsf.
Dalam masa sama, ada juga yang merasakan video dikongsikan TikTok premis itu sebenarnya sekadar konten atau taktik pemasaran semata-mata, namun masing-masing bersetuju perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan.
“Lepas tu nanti keluar kenyataan ‘ni konten je’, akhirnya makanan tu dimakan sampai habis atau buang? Kalau boleh, jangan lah main-main dengan makanan atas dasar konten,” komen Faeludic.
“Boleh tak kalau makanan jangan sampai macam ni sekali marketingnya? Aku kerja buat marketing (pemasaran) pun tak begini tau. Tu makanan, rezeki,” kata pengguna Threads Chwniwv. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














