SEBERANG PERAI – Parti Wawasan Negara (Wawasan) akan terus menyokong mana-mana pemimpin yang dilihat mampu menyatukan rakyat dan membawa pembangunan lebih baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pendirian itu selaras dengan hasrat untuk melihat perpaduan dalam negara terus diperkukuh tanpa terlalu terikat kepada perbezaan blok politik.
“Sebagai sebuah parti yang mahu melihat perpaduan dalam negara, kita sentiasa menyokong usaha yang boleh membawa kepada penyatuan rakyat.
“Jika kita melihat kepada beberapa pemimpin yang mempunyai kemampuan untuk menyatukan masyarakat dan membangunkan Johor dengan baik maka, tidak salah untuk kita memberikan sokongan kepada mereka supaya mereka dapat mencapai kemenangan pada PRN Johor ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Seberang Jaya di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, katanya lagi, penilaian terhadap seseorang pemimpin perlu dibuat berdasarkan keupayaan serta kemampuan mereka, bukannya semata-mata kedudukan dalam sesebuah blok politik.
“Mereka (pemimpin) yang saya rasa mampu untuk menyatukan bahawa Pilihan Raya Negeri Johor itu boleh dibangunkan dengan baik jadi apa salahnya, untuk kita membantu mereka supaya boleh menang.
“InsyaAllah… pemimpin lain, blok itu lain,” katanya Wawasan sedia turun berkempen membantu parti dan calon lain sepanjang PRN Johor berlangsung.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan PRN Johor Ke-16 bakal menyaksikan persaingan sengit apabila seramai 175 calon daripada pelbagai parti politik dan calon bebas disahkan bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 11 Julai depan.
Pada 12 Jun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan seramai 2,727,926 pemilih layak mengundi bagi PRN Johor Ke-16 berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini sehingga 31 Mei lalu.- KOSMO! ONLINE














