PAGOH – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menganggap ketiadaan bantuan kempen daripada rakan komponen Perikatan Nasional (PN), termasuk Pas sebagai isu besar dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, walaupun secara prinsipnya PN sepatutnya mengamalkan kerjasama dan saling membantu antara parti komponen, namun perkara itu tidak menjadi halangan kepada gerak kerja jentera parti.
“Tak apalah, saya tak minta siapa nak bantu. Siapa nak bantu, bantu walaupun dalam soal prinsip PN patut ada isunya saling membantu tetapi kalau ada rakan tak nak bantu kita terimalah.
“Setelah ini kita kerja keras atas kekuatan yang kita ada dan dasar dan amalan kita lakukan selama ini, saya yakin pengundi akan tahu bagaimana mereka nak buat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas mengiringi calon PN-Bersatu, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga penyandang DUN Bukit Kepong pada Hari Penamaan Calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh, Johor, hari ini.
Muhyiddin bagaimanapun menegaskan, PN kekal terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana rakan komponen termasuk Pas dalam membantu kempen calon di kawasan terlibat.
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menegaskan jentera pilihan raya daripada parti itu tidak akan membantu calon Bersatu pada PRN Johor.
Beliau berkata, Pas sudah membatalkan kerjasama politik dengan Bersatu dan semua jentera parti akan bergerak berasingan, walaupun parti itu mendesak untuk menggunakan logo PN.
Mengulas lanjut mengenai keputusan Bersatu tidak bertanding di kerusi Endau, Muhyiddin berkata setiap kawasan perlu dinilai berdasarkan potensi kemenangan serta perubahan landskap politik setempat.
“Bila calon lama sudah berhijrah ke parti lain, kita kena nilai semula. Kalau calon baharu tak berpotensi menang, kita tidak bertanding. Itu biasa dalam strategi politik,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE














