KUALA PILAH – Akauntan, Muhammad Faris Johari yang berusia 29 tahun dizahirkan sebagai Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-11 dalam Istiadat Mengadap Duli Yang Maha Mulia, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, pagi tadi.
Tuanku Muhriz berkenan menerima rombongan pembesar adat itu dalam majlis penuh istiadat bermula pukul 10.30 pagi tadi.
Turut berangkat sama, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan diiringi kedua-dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama isteri.
Tuanku Muhriz dalam titahnya menegaskan pelantikan berkenaan adalah selaras dengan perbilangan adat, patah tumbuh hilang berganti.
“Beta turut menyeru agar rakyat Beta di Luak Sungei Ujong dan di semua Luak Berundang serta Luak Tanah Mengandung untuk bersama-sama dengan kepimpinan Adat bagi memperkemas serta melaksanakan segala urusan dan tanggungjawab adat dengan baik,” titahnya.
Baginda juga menasihati untuk menghormati dan menjunjung nilai adat yang kita warisi sejak zaman berzaman dengan berpegang teguh kepada perbilangan Anak Buah Berbuapak, Suku Berlembago, Luak Berpenghulu dan Alam Berajo.
“Di samping itu, peliharalah tali persaudaraan dan hubungan baik antara satu sama lain ibarat bercincang berlandasan, melompek bertumpuan, air dicincang tidak akan putus,” titah baginda.
Sebelum ini Datuk Mubarak Dohak dilaporkan telah dipecat daripada jawatannya susulan pada 17 April lalu.
Untuk rekod, dalam kenyataan terdahulu, Muhammad Faris dilahirkan pada 30 Oktober 1997, anak kedua pasangan Johari Meor Ngah dan Ibu Soko Klana Hulu Shazlina Dato’ Sinda Maharaja Abd. Karim.
Muhammad Faris ialah Waris Klana Hulu berketurunan langsung Dato’ Klana Petra Bador ibni Dato’ Penghulu Menteri Chantek, Undang Luak Sungai Ujong pertama mengikut nasab ibu.
Muhammad Faris juga ialah bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, Perlis sebelum memperoleh sarjana muda perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).- KOSMO! ONLINE














