SERI KEMBANGAN – Sebuah unit apartmen di tingkat lima di Taman Pinggiran Putra di sini, musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.12 tengah hari itu, tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.12 tengah hari
“Api telah memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur rumah sebelum berjaya dikawal pada pukul 12.37 tengah hari,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.05 petang selepas bomba memastikan tiada lagi punca kebakaran.
“Seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan dan BBP Cyberjaya bersama dua jentera FRT, sebuah unit bantuan perkhidmatan kecemasan serta sebuah water tanker terlibat dalam operasi tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














