KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia kempunan untuk melangkah ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila terkandas di pusingan kedua.
Pada perlawanan yang berlangsung di Titan Gym California State University Fullerton awal pagi tadi, bekas juara Asia dan All England itu tewas 14-21, 13-21 kepada pilihan kelima dari India, K. Srikanth.
Menerusi keputusan itu, Srikanth kini semakin merapatkan kedudukan apabila sudah mencatat tiga kemenangan berbanding Zii Jia yang sudah menang lima kali ke atasnya.
Zii Jia sebelum ini mengambil keputusan tidak menyertai kejohanan Malaysia Masters Mei lalu dan sedia untuk mencuba nasib di Terbuka AS, namun tuah nyata tidak memihak kepadanya.
Tambah parah, ini merupakan kali keenam berturut-turut pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu terkandas di pusingan awal selepas kali terakhir dia mara ke suku akhir pada Thailand Masters Januari lalu.
Sementara itu, turut tersingkir di pusingan kedua adalah seorang lagi perseorangan lelaki profesional negara, Cheam June Wei yang tewas 15-21, 19-21 kepada pemain Israel, Misha Zilberman. – KOSMO! ONLINE














