KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Myanmar yang juga pemegang kad UNHCR ditemukan meninggal dunia di sebuah medan selera di Taman Sri Rampai, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.50 pagi.
Menurutnya, lelaki yang dipercayai gelandangan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika terbaring di atas kerusi simen.
“Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia bersama pegawai penyiasat telah ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
“Bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan meminta menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














