MARANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membongkar kegiatan mencuri pasir silika di Kampung Jambu Bongkok di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 1.30 tengah hari itu berjaya merampas pelbagai jentera dipercayai digunakan untuk aktiviti haram itu yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM1.8 juta.
Dua lelaki masing-masing berusia 33 dan 37 tahun turut ditahan ketika sedang leka memindahkan pasir silika terbabit.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, sewaktu serbuan suspek berumur 33 tahun dilihat sedang mengendalikan jengkaut untuk memasukkkan pasir silika ke dalam sebuah treler dipercayai dipandu suspek kedua.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu kemudiannya ditangkap sebelum gagal mengemukakan permit sah untuk memindahkan pasir silika terbabit.
“Hasil soal siasatan awal mendapati suspek pertama mengaku pasir disyaki jenis silika yang diisi ke dalam lori terbabit mahu dihantar untuk diproses di sebuah kilang di Kuantan, Pahang.
“Dia juga mendakwa cuma berperanan sebagai pengendali jengkaut ganti yang menerima upah RM150 sehari daripada pemandu asal,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Radzi berkata, rampasan melibatkan dua jengkaut dan sebuah lori treler yang disyaki digunakan untuk aktiviti mencuri pasir tersebut. – KOSMO! ONLINE














