fbpx
Mohamad ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. FOTO JAPEN

Dewan Rakyat: Lawatan ke Myanmar bukan iktiraf junta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan lawatan delegasinya ke Myanmar pada Mei lalu bukan bermaksud mengiktiraf kerajaan junta negara itu, sebaliknya bagi memastikan saluran komunikasi ASEAN terus terbuka dalam usaha menyelesaikan krisis yang berlarutan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendirian Malaysia kekal tidak mengiktiraf junta Myanmar dan lawatan itu tidak mengubah komitmen negara terhadap pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN.

“Lawatan itu dibuat susulan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 yang meminta menteri luar ASEAN meneruskan libat urus secara tidak rasmi dengan Myanmar.

“Saya bertemu Menteri Luar Myanmar, U Than Swe di hotel, bukan di pejabat Menteri Luar. Saya sampaikan perkara yang Malaysia dan ASEAN mahu lihat supaya keadaan di Myanmar berubah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berhubung dakwaan pertemuan itu seolah-olah menormalisasikan keabsahan junta.

Mohamad berkata, dalam pertemuan tersebut beliau turut mengingatkan Myanmar bahawa negara itu bukan sahaja mempunyai hak sebagai anggota ASEAN, malah perlu memenuhi tanggungjawab dan obligasinya sebagai anggota blok serantau itu.

Katanya, ASEAN perlu terus berhubung dengan Myanmar bagi mengelakkan negara itu dipinggirkan sehingga mewujudkan kekosongan yang boleh dimanfaatkan pihak berkepentingan luar.

“Jika Myanmar terus dipinggirkan, akan wujud vakum yang akhirnya diisi pihak tertentu sehingga boleh memudaratkan ASEAN secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Malaysia akan mengadakan satu lagi siri pertemuan dengan pemegang taruh Myanmar pada awal atau pertengahan Julai ini bagi meneruskan usaha mencari penyelesaian terhadap konflik berkenaan.

Menurutnya, Malaysia akan terus menggesa semua pihak menghentikan keganasan, melaksanakan gencatan senjata, mengadakan dialog secara terangkum serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada rakyat Myanmar selaras dengan matlamat 5PC. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN