JAKARTA – Seorang penduduk kampung di Pulau Taliabu, wilayah Maluku Utara meninggal dunia akibat dibelit seekor ular sawa gergasi sepanjang 7 meter, lapor portal berita Halmahera Post.
Ketua Polis Taliabu Timur, IPDA Imran Husaleka berkata, mangsa diserang ketika pergi ke kebun di Desa Ufung untuk mengambil duit milik saudaranya selepas pukul 6 pagi (waktu tempatan).
“Ular ini menggigit kaki kiri mangsa sebelum membelit tubuhnya sehingga lemah. Dia ditemukan dalam keadaan dibelit oleh penduduk setempat dikenali sebagai Reju sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan).
“Memandangkan ular sawa ini begitu besar, Reju meminta bantuan seorang pengawal keselamatan, Rusdi Sambono yang berada kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian,” kata Imran.
Rusdi kemudian pergi ke Desa Ufung untuk mendapatkan bantuan penduduk.
“Selepas mereka membunuh ular sawa gergasi ini, mayat mangsa dibawa ke Desa Padang dengan menaiki ambulans untuk bedah siasat sebelum dikebumikan oleh keluarganya,” tambah Imran.
Beliau menggesa orang ramai untuk sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di kawasan hutan, terutamanya di lokasi menempatkan banyak hidupan liar. – AGENSI














