NEW JERSEY – Jerman menerima tamparan hebat menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan berdepan Ecuador awal pagi esok apabila kehilangan seorang pemain pertahanan ekoran kecederaan.
Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann terpaksa menerima hakikat bahawa khidmat Nico Schlotterbeck terpaksa berakhir pada perlawanan kedua apabila mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Ivory Coast.
Menurut laporan, imbasan MRI mengesahkan bahawa pertahanan Borussia Dortmund itu mengalami kerosakan ligamen medial pada buku lali kirinya dan memerlukan tempoh sehingga dua bulan untuk pemulihan.
Pemain yang membuat 29 penampilan bersama Jerman itu pada mulanya menerima rawatan dan cuba meneruskan permainan ketika menentang Ivory Coast, namun tidak dapat menamatkan perlawanan dan terpaksa digantikan pada separuh masa kedua.
Schlotterbeck menjadi tonggak utama di benteng pertahanan Nagelsmann bersama Jonathan Tah dan berjaya memberikan keseimbangan apabila mampu membina serangan daripada kawasan bawah.
“Kami akan sangat merindui Schlotti di atas padang sebagai seorang pertahanan yang luar biasa, terutamanya kerana kebolehannya yang hebat dalam memulakan serangan. Ini sepatutnya detik terbaik untuk dia menyinar di Piala Dunia.
“Walaupun tanpa kehadirannya, kami masih mempunyai pilihan yang sangat baik di posisi pertahanan tengah untuk Piala Dunia ini dengan Jonathan Tah, Antonio Rudiger, Waldemar Anton dan Malick Thiaw,” kata Nagelsmann.
Ketiadaan Schlotterbeck menyaksikan Nagelsmann mungkin terpaksa kembali menggunakan khidmat Rudiger yang sebelum ini tersisih ekoran kecemerlangan kedua-dua pemain berkenaan membentuk gandingan terbaik. – AGENSI














