SEPANG – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan membuat hantaran bersifat menghina dan mengancam beberapa ahli kerabat Terengganu menerusi aplikasi X.
Tertuduh, Azman Hakim Hassanuddin, 35, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, Azman Hakim didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melampau dan mengancam menerusi X miliknya pada 19 Februari lalu.
Berdasarkan empat pertuduhan, tertuduh didakwa membuat hantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya pada pukul 2.25 petang, 4.19 petang, 4.20 petang dan 4.29 petang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Bagi satu lagi pertuduhan, dia didakwa membuat hantaran komunikasi yang mengancam pada pukul 3.46 petang dengan niat untuk mengugut seseorang.
Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab memohon agar tertuduh dihantar ke hospital psikiatri untuk pemerhatian dan penilaian mental bagi menentukan sama ada lelaki itu layak dibicarakan.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan memerintahkan tertuduh dihantar ke hospital psikiatri. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE














