KUALA TERENGGANU – Seorang pemandu lori yang sanggup meminjam wang kawan demi mengejar komisen RM400,000 dijanjikan berputih mata setelah kerugian RM80,580 akibat diperdaya skim pekerjaan sambilan yang tidak wujud.
Lelaki berusia 35 tahun yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 3.28 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya pemandu lori terbabit tertarik dengan iklan tawaran pekerjaan sampingan yang dilihatnya di laman Facebook pada 3 Jun lalu.
“Mangsa kemudiannya berurusan menerusi aplikasi WhatsApp dengan individu tidak dikenali yang mengaku kononnya wakil sebuah syarikat.
“Dia semakin tertarik apabila diterangkan kononnya pekerjaan tersebut amat mudah iaitu hanya perlu klik barangan pada sistem diberikan,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, lelaki itu makin teruja apabila dimaklumkan kononnya sudah memperoleh keuntungan RM400,000 selepas beberapa kali melakukan tugasan diarahkan.
Beliau berkata, pemandu lori tersebut bagaimanapun diarahkan membuat pembayaran jika mahu mengeluarkan keuntungan berkenaan.
“Mangsa yang tidak menaruh curiga mengikut arahan suspek dengan membuat pembayaran keseluruhan sebanyak RM80,850 namun menyedari tertipu apabila terus diminta membuat pembayaran tanpa menerima keuntungan dijanjikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














