fbpx
ALGERIA menewaskan Jordan 2-1 dalam aksi kumpulan J di Stadium San Francisco, sebentar tadi.

Piala Dunia 2026: Algeria bangkit hidupkan peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAN FRANCISCO – Algeria menghidupkan semula peluang untuk mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Jordan 2-1 dalam aksi Kumpulan J di Stadium San Francisco, sebentar tadi.

Kemenangan itu bukan sahaja memastikan Algeria terus bersaing memburu slot ke pusingan seterusnya, malah menyingkirkan Jordan yang masih gagal mengutip sebarang mata pada penampilan sulung mereka di pentas Piala Dunia.

Meskipun Algeria menguasai sebahagian besar permainan, Jordan terlebih dahulu mengejutkan lawan apabila Nizar Al Rashdan meledak gol pembukaan pada minit ke-36 menerusi penyudah menarik.

Gol tersebut hadir selepas Ramiz Zerrouki melakukan kesilapan mudah di bahagian tengah sebelum Al Rashdan memanfaatkan peluang itu untuk meletakkan Jordan di depan menjelang waktu rehat.

Sebelum itu, Algeria beberapa kali hampir membuka jaringan menerusi Amine Gouiri, Fares Chaibi dan Riyad Mahrez, namun penjaga gol Jordan, Yazeed Abulaila tampil cemerlang menggagalkan percubaan lawan.

Selepas babak kedua bermula, Algeria terus meningkatkan tekanan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-69 apabila Nadhir Benbouali menanduk masuk sepakan sudut Mahrez.

Kebangkitan Algeria akhirnya lengkap lapan minit sebelum tamat apabila Amine Gouiri menyempurnakan bola muntah hasil satu lagi sepakan sudut untuk memastikan kemenangan 2-1 menjadi milik skuad Desert Warriors.

Keputusan itu menyaksikan Algeria terus menghidupkan peluang untuk layak ke pusingan kalah mati, manakala Jordan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan selepas dua kekalahan berturut-turut pada penampilan pertama mereka di Piala Dunia. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN