fbpx
Dennis (tengah) menunjukkan rampasan berkaitan Op Soga XI pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, hari ini.

12 kaki judi Piala Dunia FIFA 2026 diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Seramai 12 lelaki tempatan dicekup selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pertaruhan dalam talian sempena kejohanan Piala Dunia FIFA 2026, menerusi 12 serbuan berasingan di negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, tangkapan dilaksanakan menerusi Op Soga XI yang dilancarkan bagi membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen.

Menurutnya, operasi bersepadu itu dijalankan bermula 11 Jun hingga 19 Julai depan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Sepanjang tempoh operasi setakat ini, sebanyak 12 serbuan telah dilaksanakan dan seramai 12 lelaki tempatan berusia 27 hingga 64 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram serta perjudian dalam talian.

“Turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah 12 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM8,692 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut beliau, polis turut mengesan 12 laman sesawang, platform, aplikasi dan akaun media sosial yang digunakan bagi tujuan pertaruhan bola sepak serta promosi aktiviti perjudian sepanjang kejohanan berkenaan berlangsung.

“Justeru, tindakan menyekat laman web dan menurunkan kandungan berkaitan akan dilaksanakan dengan bantuan SKMM bagi mengekang kegiatan tersebut daripada terus berleluasa,” katanya.

Dennis berkata, semua suspek telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

“Selain itu, siasatan juga akan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi mengenal pasti sebarang elemen pengubahan wang haram yang berkaitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN