PETALING JAYA – Yayasan Peneraju (YP), agensi di bawah Kementerian Ekonomi, hari ini mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)nya, Ibrahim Sani akan berundur daripada jawatannya berkuat kuasa pada 1 Julai ini.
Menteri Ekonomi merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YP, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, bagi pihak Lembaga Pemegang Amanah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ibrahim atas kepimpinan dan sumbangan beliau dalam menerajui YP pada satu fasa penting transformasi khususnya dalam memperkukuh peranan yayasan tersebut sebagai institusi pembangunan bakat bumiputera yang lebih strategik dan berorientasikan nilai.
“Peralihan kepimpinan ini tidak akan menjejaskan kesinambungan operasi dan pelaksanaan agenda strategik YP, termasuk sasaran untuk menyokong pembangunan 100,000 bakat bumiputera menjelang tahun 2030, termasuk membangunkan 10,000 individu yang mempunyai penyertaan ekonomi dan pemilikan aktif selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35),” katanya dalam kenyataan.
Sejak memegang jawatan tersebut pada November 2023, Ibrahim telah menerajui
peralihan YP daripada penciptaan kekayaan kepada penciptaan nilai, dengan matlamat
melahirkan pemimpin profesional, perniagaan dan komuniti yang mampu menyumbang
kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Sebagai sebahagian daripada transformasi tersebut, YP telah melancarkan Talent Bank pada tahun 2024 sebagai platform strategik untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat bumiputera berpotensi tinggi.
Mengulas mengenai perunduran tersebut, Ibrahim memaklumkan, sepanjang tempoh penting beliau memegang jawatan penting itu, ia adalah satu penghormatan yang
amat bermakna terutama dalam melakukan transformasi ke arah lebih relevan
dalam memenuhi keperluan bakat negara masa kini dan masa hadapan.
“Saya berbangga dengan segala kemajuan yang telah dicapai bersama warga YP. Saya yakin
usaha yang telah dilaksanakan ini meletakkan yayasan ini berada pada landasan yang tepat untuk
merealisasikan aspirasi yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju 2030,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














