fbpx
Yulia dituduh mendera anak majikannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

Amah Indonesia didakwa tarik rambut, tangan anak majikan usia setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mendedahkan kanak-kanak perempuan berusia setahun kepada kecederaan fizikal, tahun lalu.

Tertuduh, Yulia Arnida, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Zainol.

Mengikut pertuduhan, pembantu rumah itu dituduh mendedahkan mangsa kepada kecederaan fizikal dengan cara menarik rambut sehingga kepala terangkat dan menarik tangan kanan kanak-kanak itu secara kasar sehingga lebam.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Ledang, Taman Johor, di sini pada waktu petang, 21 Disember lalu. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama.

Tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, S. Manushri memohon jaminan tinggi berjumlah RM20,000 ke atas tertuduh berserta syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam, Jason Tan Ka Yan memohon jaminan yang minimum kerana anak guamnya menanggung dua anak berusia tujuh dan lapan tahun yang bersekolah di Bandar Aceh, Indonesia selain ibu bapa yang uzur.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan tiada jaminan ke atas tertuduh selepas peguam memaklumkan anak guamnya tidak dapat mematuhi salah satu syarat tersebut kerana pasport tertuduh berada di tangan pihak ketiga.

Mahkamah turut memerintahkan Yulis ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Kluang sehingga pihak peguam mendapatkan dokumen perjalanan sementara daripada kerajaan Indonesia. Kes disebut semula pada 29 Jun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN