MELIHAT kehidupan figura bernama Datin Lisa Surihani ketika ini, pasti ramai mula beranggapan kerjayanya sebagai pelakon sudah dinoktahkan.
Jika skeptikal sebegitu yang ada dalam dalam fikiran kalian, sila buang jauh-jauh memandangkan aktres berusia 40 tahun itu dengan tegas memberi pencerahan, dia tidak pernah berhasrat apatah lagi bersuara mahu bersara daripada karier lakonan.
Lisa bukan berhenti berlakon sebaliknya memperlahankan kerjaya seni atas beberapa faktor, termasuk ketidaksesuaian watak dan naskhah yang ditawarkan kepadanya.
“Sebelum mengerjakan ibadah haji, saya tak pernah beri sebarang kenyataan sama ada sudah meletakkan tanda noktah terhadap kerjaya lakonan.
“Hakikatnya, ada tawaran yang mungkin tiba-tiba tak terjadi atas sebab-sebab yang berbeza seperti kekangan masa, jadual kerja tidak bersesuaian, watak dan jalan cerita kurang sesuai.
“Semua itu mempengaruhi keputusan tetapi alhamdulillah sehingga hari ini, tawaran lakonan sentiasa ada cuma tidak sekerap dahulu,” katanya kepada HibGlam.
Sambung Lisa, dia juga ada membuat kemunculan istimewa dalam beberapa naskhah dan drama terakhir adalah Kiblat Ke Syuga sekitar 2023.
Tidak pernah rasa kesal apatah lagi kecewa, bintang filem Legenda Budak Setan itu yakin semua yang berlaku adalah ketentuan Allah buat dirinya.
“Walau apa sahaja yang jadi, saya tetap akan minta petunjuk Allah.
“Bukan itu sahaja, setiap perkara yang hadir termasuk tawaran lakonan, saya selalunya akan dapatkan pandangan daripada individu sekeliling seperti suami, ibu dan kawan karib.

“Penting untuk dapatkan perspektif mereka berkaitan hal-hal tertentu,” ujar suri hati penyanyi, pelakon juga pengarah Datuk Yusry Abdul Halim itu.
Ditanya sama ada terbit rasa rindu terhadap dunia lakonan yang sudah diceburinya lebih tiga dekad lalu, Lisa tidak menyangkal hal tersebut.
“Kalau nak cakap tentang rindu, sudah semestinya kerana bidang ini saya ceburi sejak zaman remaja lagi. Kerjaya seni sudah jadi sebahagian daripada kehidupan saya.
“Mungkin saya sudah sampai ke satu tahap dalam hidup atau kerana penghijrahan sejak tahun 2019 membuatkan saya lebih berlapang dada dengan pelbagai perubahan dan penyesuaian dalam hidup.
“Apa sahaja rezeki yang datang, sama ada kecil atau besar, saya percaya rancangan Allah adalah yang terbaik,” jelasnya yang baru pulang dari menunaikan ibadah haji minggu lalu.
Bersulam senyuman manis, dia sempat berkongsi pengalaman menunaikan ibadah haji yang tidak mampu untuk diungkapkan dengan kata-kata.
Perlahan-lahan mahu menjadi muslimah yang lebih baik, ibu kepada tiga cahaya mata itu tidak pernah berasa ralat menunaikan rukun ke lima itu tanpa ditemani suami.
“Semuanya sudah diaturkan dan kita perlu bersangka baik dengan setiap ketentuan Allah.
“Ada hikmah yang kita tak nampak di sebalik ketiadaan Yusry bersama saya di Tanah Suci, saya reda,” ujarnya.
Sempat ditanya mengenai kenyataan suami tercinta mengenai rumah mereka berasa tidak lengkap sepanjang dirinya menunaikan haji, Lisa menganggap perkara tersebut sebagai satu bentuk pujian istimewa untuk seorang isteri.
“Masya-Allah, alhamdulillah semuanya dengan izin Allah.
“Saya rasa sangat bersyukur, itu kata-kata yang sangat melembutkan dan memujuk hati.
“Sedap hati isteri bila mendengar kata-kata sebegitu,” akhirinya.














