fbpx
Gambar hiasan.

Dewan Rakyat: RUU Baja capai 80 peratus, kawal kualiti dan bekalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini berada pada fasa akhir penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Baja bagi mengawal selia standard kualiti, rantaian pengedaran serta memastikan kestabilan bekalan baja di pasaran negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, draf RUU berkenaan menunjukkan perkembangan positif dengan kemajuan antara 70 hingga 80 peratus setakat ini.

“Sekarang kita sedang dalam proses penggubalan RUU Baja. Saya dimaklumkan bahawa kita telah mencapai lebih kurang 70 hingga 80 peratus kemajuan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang membangkitkan kebimbangan petani berhubung bekalan baja di pasaran yang didakwa tidak menepati kualiti setiap kali berlaku krisis global.

Menurut Chan, penggubalan undang-undang khusus itu amat penting bagi memastikan kualiti baja sentiasa terjamin selain melindungi pengusaha sektor pertanian daripada sebarang manipulasi dalam rantaian pengedaran.

“Ini sesuatu yang penting dan saya berharap apabila dibentangkan nanti, semua Ahli Parlimen dapat memberikan sokongan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya), Chan berkata konflik geopolitik dunia telah memberi kesan langsung kepada peningkatan kos bahan api serta input pertanian seperti baja dan racun.

Katanya, keadaan itu turut meningkatkan risiko gangguan bekalan makanan domestik sekiranya tidak ditangani secara berkesan.

“Kerajaan komited melaksanakan pelbagai strategi mitigasi bagi memastikan rantaian bekalan makanan negara tidak terputus,” ujarnya.

Beliau berkata, antara langkah yang diambil termasuk pengecualian sementara cukai jualan dan peningkatan peruntukan bantuan khas kepada pesawah padi bagi mengurangkan beban kos pengeluaran.

Tambah beliau, KPKM turut merancang memperkukuh ekosistem agromakanan negara melalui penggubalan akta baharu serta penyediaan stok simpanan kecemasan bagi menghadapi sebarang gangguan bekalan pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN