PETALING JAYA – Mercy Malaysia akan menghantar Pasukan Penilaian Pantas (Rapid Assessment Team) yang terdiri daripada empat anggota ke Iran bagi menilai situasi kemanusiaan dan kesihatan semasa di negara itu.
Misi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kesiapsiagaan dan tindak balas organisasi berkenaan untuk mendapatkan gambaran sebenar keadaan di lapangan sebelum sebarang tindakan susulan dilaksanakan.
Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd. Perdaus berkata, misi itu penting bagi memastikan sebarang keputusan atau tindakan kemanusiaan dibuat berdasarkan penilaian sebenar dan bukannya andaian.
“Kita perlu memahami situasi sebagaimana ia berlaku, bukan berdasarkan andaian. Penilaian ini memastikan pemahaman kita berpaksikan realiti supaya sebarang pertimbangan pada masa hadapan dapat dilaksanakan secara tepat, fokus dan berkesan.
“Dalam kerja kemanusiaan, kejelasan maklumat membolehkan keputusan dibuat secara bertanggungjawab serta mengambil kira keadaan sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pasukan tersebut akan menjalankan penilaian secara langsung terhadap operasi perkhidmatan kesihatan termasuk akses pesakit, kapasiti fasiliti perubatan serta cabaran yang dihadapi penyedia perkhidmatan kesihatan di negara berkenaan.
Katanya, pasukan itu juga akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa kesihatan tempatan, petugas perubatan dan rakan strategik berkaitan bagi memastikan dapatan yang diperoleh mencerminkan keadaan sebenar di lapangan.
“Misi ini membolehkan analisis kemanusiaan dibuat berasaskan bukti, sekali gus menyokong perancangan yang bersesuaian mengikut keperluan dan konteks semasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














