OSLO – Penyerang sensasi Norway, Erling Haaland menegaskan skuad negaranya kini hanya fokus untuk meneruskan momentum kemenangan apabila bakal berdepan Senegal dalam aksi kedua Kumpulan I Piala Dunia 2026.
Selepas membantu Norway menewaskan Iraq 4-1 pada aksi pembukaan, Haaland mengingatkan rakan sepasukan bahawa misi sebenar mereka masih belum selesai meskipun memulakan kempen dengan langkah kanan.
Penyerang Manchester City itu turut berkongsi suasana latihan pasukan menerusi media sosial dengan kapsyen ringkas, ‘misi diteruskan’, sebagai gambaran kesungguhan Norway memburu kemenangan kedua berturut-turut.
Kemenangan ke atas Iraq sebelum ini menyaksikan Haaland mencipta sejarah apabila muncul pemain lelaki pertama Norway yang menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan Piala Dunia.
“Perjalanan kami masih panjang. Kami perlu terus bekerja keras dan memastikan fokus kekal kepada perlawanan seterusnya,” katanya.
Haaland turut menjadi watak utama ketika menentang Iraq apabila meledak dua gol dalam tempoh 43 minit pertama untuk membantu Norway meraih kemenangan pertama di pentas Piala Dunia selepas penantian selama 28 tahun.
Pemain berusia 24 tahun itu membuka jaringan pada minit ke-29 sebelum sekali lagi menemui sasaran menjelang tamat babak pertama hasil tekanan tinggi yang memaksa penjaga gol Iraq melakukan kesilapan.
Kini, Norway berdepan ujian lebih getir menentang Senegal dan Haaland dijangka sekali lagi menjadi sandaran utama pasukan dalam usaha mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan I. – AGENSI














