KUANTAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima penyerahan rasmi Sistem Persenjataan FN MAG 58M 7.62 milimeter bagi helikopter EC 725 AP/H225M dalam usaha memperkukuhkan keupayaan operasi Combat Search and Rescue (CSAR) terutama bagi misi menyelamat di kawasan berisiko tinggi.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM berkata, perolehan sistem persenjataan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan keberkesanan aset udara selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55).
Menurutnya, helikopter EC 725 AP/H225M merupakan antara aset utama TUDM yang digunakan untuk pelbagai misi termasuk operasi CSAR, bantuan kemanusiaan, pengangkutan taktikal dan operasi khas.
“Bagi memenuhi keperluan operasi CSAR yang memerlukan perlindungan kendiri ketika berada di kawasan ancaman, TUDM telah melaksanakan perolehan awal sistem persenjataan untuk dipasang pada helikopter EC 725 AP/H225M.
“Sistem ini akan meningkatkan tahap keselamatan anak kapal dan anggota yang terlibat dalam misi menyelamat, sekali gus membolehkan operasi dilaksanakan dengan lebih berkesan dan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, kerajaan Malaysia telah menandatangani Letter of Acceptance (LOA) bersama syarikat pembuat senjata dari Belgium, FN Herstal bagi perolehan lima unit mesingan FN MAG 58M berkaliber 7.62 milimeter.
Katanya, senjata berkenaan merupakan antara sistem persenjataan yang telah terbukti keberkesanannya dan digunakan secara meluas oleh angkatan tentera di seluruh dunia.
Sebelum penyerahan rasmi dilaksanakan, proses Final Acceptance Test (FAT) telah dijalankan bermula 30 Mac hingga 4 Jun lalu melibatkan No. 10 Skuadron di Pangkalan Udara Kuantan dan No. 5 Skuadron di Pangkalan Udara Labuan.
“Pengujian tersebut bertujuan memastikan setiap sistem memenuhi spesifikasi teknikal, standard keselamatan dan keperluan operasi yang ditetapkan oleh TUDM,” jelasnya.
Majlis penyerahan rasmi sistem persenjataan itu disempurnakan menerusi penyerahan oleh Pengarah Urusan Airbus Helicopters, Axel de Pascal kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris. – KOSMO! ONLINE














