PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat di beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak, Sabah dan Labuan hingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah seluruh Perlis dan Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu).
Keadaan sama turut berlaku di Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Batang Padang dan Muallim).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Raub, Bentong dan Rompin), Selangor (Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat), Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin) dan Johor (Mersing dan Kota Tinggi),” katanya.
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Kuching (Bau dan Kuching), Samarahan, Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong), Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Sibu dan Kanowit), Mukah (Matu dan Dalat), Kapit (Song), Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Kunak dan Lahad Datu), Sandakan (Beluran) dan Kudat.
Cuaca buruk itu dijangka berlaku di seluruh Labuan.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE













