fbpx
MOHD Atan (kiri) melakukan sembahyang jenazah anak dan cucunya di Unit Forensik Hospital Pekan di Pekan hari ini.

‘Kek itu jadi pemberian terakhir’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEKAN – Seorang bapa tidak menyangka pemberian kek daripada anaknya minggu lalu menjadi pemberian pertama dan terakhir apabila lelaki itu yang juga doktor meninggal dunia dalam nahas tiga buah kenderaan di Kilometer 67, Jalan Kuantan-Segamat, di sini semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, bersama isteri, anaknya dan ibu serta bapa mentua dalam perjalanan ke Kuantan bagi menghadiri perjumpaan keluarga yang dijadualkan hari ini.

Mohd. Atan Daud, 67, berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya pada Ahad lalu di rumahnya di Batu Anam, Segamat.

“Tidak ada apa yang pelik pada masa itu cuma dia menyatakan akan membawa saya mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu.

“Cuma sebelum itu buat pertama kali dia datang pada waktu malam menghantar kek kepada saya di rumah, itu pertama kali dia hantar kek dan yang terakhir,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan di sini hari ini.

GAMBAR kenangan mangsa dan anaknya yang meninggal dunia serta isterinya yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Menurutnya, semasa kejadian, anaknya dalam perjalanan daripada rumah di Segamat menuju ke Kuantan selepas berhenti mengambil ibu mentuanya yang tinggal di Muadzam Shah, Rompin.

Katanya, dia mengetahui kejadian daripada jiran selepas isyak sebelum bergegas ke Hospital Pekan malam semalam.

Dalam pada itu, ibu mangsa, Rosnah Wahid, 55, berkata, kali terakhir mangsa bertandang ke rumahnya pada Ahad lalu dan arwah begitu berselera memakan pelbagai juadah yang disediakannya.

“Dia cakap masakan mak sangat sedap, semuanya sedap dan dia juga menyatakan hajat membawa ayahnya untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital.

“Dia memang anak yang berbakti apa sahaja keperluan saya diberikannya. Dia begitu mengambil berat urusan keluarga,” katanya.

Dia memberitahu, menjadi rutin anak kedua daripada empat beradik itu pulang ke rumahnya di Batu Anam pada setiap Ahad dan menziarahi mentuanya di Muadzam Shah pada setiap Jumaat.

Katanya, meskipun sibuk dengan tugas sebagai doktor, anaknya sentiasa membahagikan masa untuk datang ke rumahnya dan rumah mentua setiap minggu.

“Apa sahaja keperluan kami diberikannya dia memang anak yang baik,” katanya.

Sementara itu, abang ipar mangsa, Johan Ibrahim, 44, berkata, semasa kejadian dia yang tinggal di Kuala Lumpur berada di rumah adiknya di Kuantan dan menunggu mangsa yang dalam perjalanan.

Katanya, mereka dijadual mengadakan perhimpunan keluarga di Telok Chempedak hari ini selain menyertai larian yang dianjurkan di pantai peranginan tersebut. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN