fbpx
Lelaki warga asing ini cuba menyembunyikan diri ketika Ops Kutip di Pudu, awal pagi tadi.

PATI menyorok atas bumbung, bergelap dalam bilik elak dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Ada yang memanjat bumbung premis, bersembunyi dalam bilik gelap dan tidak kurang juga yang berpura-pura tidur bagi mengelak ditahan dalam Ops Kutip yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) di kawasan Pudu di sini awal pagi tadi.

Bagaimanapun, helah ratusan pendatang asing tanpa izin (PATI) itu gagal apabila premis yang dijadikan lokasi penempatan mereka dikepung pasukan penguat kuasa sebelum pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh.

Tinjauan Kosmo! yang mengikuti operasi bermula pukul 12.05 tengah malam itu mendapati suasana bertukar kecoh sebaik sahaja kehadiran anggota penguat kuasa disedari warga asing yang berada di dalam bangunan berkenaan.

Ada antara mereka bertempiaran mencari tempat persembunyian, manakala beberapa individu dipercayai cuba meloloskan diri dengan memanjat ke bahagian bumbung bilik.

Lebih mencurigakan, beberapa bilik didapati berada dalam keadaan gelap sepenuhnya walaupun dipercayai dihuni penghuni warga asing.

Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat individu yang berdiam diri di dalam bilik sempit dengan harapan tidak dikesan pegawai operasi.

Malah, terdapat juga PATI yang cuba berlagak tenang dan berpura-pura sedang tidur ketika pemeriksaan dijalankan.

Seorang pegawai operasi berkata, taktik seumpama itu sering digunakan PATI setiap kali serbuan dilakukan.

“Mereka ingat jika bersembunyi dalam bilik gelap atau naik ke bumbung, penguat kuasa tidak akan jumpa.

“Tetapi kami sudah biasa dengan pelbagai helah seperti ini dan pemeriksaan tetap dijalankan di setiap sudut premis,” katanya.

Dalam operasi tersebut, seramai 320 warga asing diperiksa sebelum 186 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Menurut JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, antara kesalahan yang dikesan ialah tinggal lebih masa serta tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN