PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa cadangan meletakkan bekas tentera sebagai warden di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tiada kaitan dengan drama Korea.
Ini kerana kata Asyraf Wajdi, cadangan tersebut sudah lama dibangkitkan pelbagai pihak sejak tahun 2023.
Malah kata beliau, Mara telah menjalakan projek rintis warden tersebut dia dua buah MRSM sejak tahun lepas dan akan diperluaskan ke semua 58 instiusi berkenaan jika terbukti berkesan.
“Apabila saya diamanahkan sebagai Pengerusi Mara 2023, banyak laporan kes-kes buli diterima melalui pelbagai ruangan media sosial saya oleh ibubapa dan pelajar.
“Saya mula buat lawatan mengejut melalui #Terjah MRSM-MRSM dan institusi-institusi pendidikan di bawah Mara yang lain.
“Saya mula mengambil pelbagai langkah membendung gejala ini, bahkan memperkenalkan tagline ‘You Touch You Go’ bagi memberi mesej jelas bahawa tiada kompromi bagi sesiapa yang terlibat dengan buli atau yang cuba menyorokkan kes buli,” katanya di laman Facebook.
Dalam siri-siri Terjah itu kata Asyraf Wajdi, beliau mendapati antara faktor kekerapan perlakuan buli ini terkait juga dengan keterbatasan tanggungjawab warden yang dipikul oleh guru-guru secara tugasan tambahan.
Jelas beliau, ramai pihak termasuk bekas guru, netizen yang mencadangkan supaya dilantik warden sepenuh masa dari kalangan bekas-bekas anggota beruniform seperti tentera.
“Saya terus bawa idea ini kepada pihak pengurusan Mara dan dicadangkan untuk membuat projek rintis di dua MRSM yang terkenal dengan tradisi buli sejak dulu.
“Alhamdulillah setelah selesai projek rintis selama enam bulan yang berakhir Februari lalu, saya minta laporan lengkap pihak MRSM terlibat, Bahagian Pendidikan Menengah Mara dan kajian yang dilakukan IPSAS (Institut Pengajian Sains dan Sosial) UPM,” katanya.
Tambah beliau, hasil kajian itu mendapati perlantikan warden sepenuh masa di kalangan bekas tentera amat berkesan dan memberi impak positif kepada kemenjadian dan pembangunan sahsiah dan disiplin pelajar.
Justeru saya membawa cadangan ini untuk dibincang dan diluluskan oleh Majlis Mara dan keputusannya untuk diperluaskan ke semua 58 MRSM.
“Kebetulan pula baru bulan lepas drama Korea Netflix bertajuk Teach You A Lesson mula ditayangkan. Ramai pula yang tagged saya. Rupanya ada kesamaan dengan inisiatif yang dilakukan di Mara.
“Mara sentiasa prihatin dan mendengar suara hati masyarakat awam demi memperkasakan lagi agenda pendidikan anak bangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














