KLANG – Malang menimpa seorang remaja lelaki apabila kereta dipandunya terbalik selepas dipercayai dirempuh sebuah Proton Iriz sebelum pemandunya bertindak melarikan diri dalam kejadian di Batu 2 1/2 Jalan Meru di sini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.40 petang Selasa lalu ketika mangsa berusia 18 tahun memandu sebuah Perodua Kelisa dari arah Meru menghala ke Klang.
Detik kemalangan tersebut turut tular menerusi video berdurasi seminit.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan awal mendapati sebuah Proton Iriz berwarna maroon yang berada di lorong kiri secara tiba-tiba mengubah haluan ke kanan sebelum melanggar Perodua Kelisa tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa hilang kawalan dan terbalik di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, pemandu Perodua Kelisa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau menambah pemandu Proton Iriz terbabit pula bertindak melarikan diri sejurus kemalangan berlaku.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Usaha mengesan pemandu yang melarikan diri sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Low Wee Hong di talian 017-6747946 bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














