DALLAS – Pengendali Sweden, Graham Potter mahu terus memastikan kepercayaan yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Sweden akan terus menjadi suatu yang berharga ketika mereka bakal turun memburu kemenangan kedua menentang Belanda awal pagi esok.
Potter mengambil alih Sweden pada Oktober tahun lalu ketika beliau dan dan pasukan itu memerlukan satu permulaan baharu, namun kini hanya selangkah untuk berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan.
Pada aksi pembukaan, Sweden berjaya menewaskan Tunisia 5-1 untuk muncul pendahulu Kumpulan F dan kemenangan ke atas Belanda akan menyaksikan mereka layak beraksi di pusingan 32 nanti.
Ia merupakan kebangkitan luar biasa ditunjukkan oleh yang sebelum ini menamatkan kempen kelayakan Eropah di tangga tercorot kumpulan mereka di belakang Switzerland, Kosovo dan Slovenia dan mara dengan tiket Liga Negara-Negara Eropah.
Namun, Potter enggan terbawa-bawa dengan kemenangan itu ketika beliau sedar bahawa berdepan Belanda yang berada di ranking kelapan dunia bukan tugas yang mudah.
“Ini hanyalah permulaan yang baik untuk kami, itu sahaja. Kami tahu akan berdepan lawan yang berbeza dalam perlawanan seterusnya. Kami perlu fokus kepada tugas kami dan bagaimana kami bermain sebagai satu pasukan.
“Kami akan bertemu satu lagi pasukan hebat i yang saya anggap sebagai antara pasukan pilihan untuk memenangi kejohanan, jika melihat kepada pemain dan kualiti yang mereka miliki. Jadi, ia akan menjadi perlawanan yang sukar,” katanya.
Mengulas mengenai gandingan Alexander Isak dan Viktor Gyokeres, Potter percaya kedua-dua pemainnya mampu mempamerkan aksi lebih baik apabila kerap diturunkan bersama dalam setiap perlawanan dan sekali lagi menjadi sandaran bertemu Belanda nanti. – AGENSI














