PETALING JAYA – Sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Derma di Perlis mencuri perhatian pengguna selepas kebolehan luar biasa mereka mengendalikan siaran langsung sebuah kejohanan bola sepak.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Fat_deadpoool, dia memuji inisiatif pihak sekolah serta kesungguhan para pelajar yang dilihat mengoperasikan peralatan penyiaran yang canggih secara profesional.
“Sekolah pun ada barang sendiri. Yang dekat tempat kerja nak suruh beli barang pun kedekut. Tahniah student (pelajar), cikgu, dan ibu bapa sekolah ini,” katanya.
Berdasarkan rakaman video yang dikongsi, sebanyak 90 peratus daripada operasi penyiaran bagi Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Perlis (MSSPs) 2026 dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar sekolah berkenaan.
Mereka dilihat tidak kekok dan cekap mengawal papan pengadun video (video switcher), komputer riba, kamera utama, malah ada juga yang bertindak selaku pengulas perlawanan.
Malah, hasil suntingan dan siaran langsung yang dipaparkan mengundang rasa cemburu dalam kalangan pengguna yang menyifatkannya setaraf dengan hasil kerja stesen televisyen komersial.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna kagum dan menganggap pendedahan kemahiran insaniah (soft skills) seperti ini jauh lebih berharga daripada pembelajaran teori di dalam kelas.
“Soft skills yang macam ini yang mahal. Cikgu yang buat inisiatif ini patut diberi ganjaran,” ujar Samsy.ak.
“Bayangkan had keupayaan yang budak-budak ini boleh capai bila waktu sekolah pun dah macam ini. Dengan ilmu dan pengalaman yang mereka dapat waktu sekolah, siapa tahu apa yang mereka akan teroka waktu masuk pasaran kerja nanti,” kata Afdsyimir. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














