SEJAK 1 Ramadan lalu, ribuan pengguna pengangkutan awam terpaksa berdepan dengan keadaan luar jangka apabila Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya sering kali mengalami masalah.
Sebelum ini, itulah pengangkutan awam yang menjadi kesayangan ramai untuk ke tempat kerja atau bersiar-siar ke ibu kota.
Apa yang membelenggu sekarang, gangguan ini bukan lagi perkara luar biasa, sebaliknya seolah-olah menjadi episod yang berulang hampir setiap minggu atau setiap hari.
Bagi warga Lembah Klang, Laluan Kelana Jaya dari Putra Height (Subang/ Shah Alam) sehingga ke Gombak merupakan antara nadi utama sistem pengangkutan awam negara.
Laluan ini menghubungkan kawasan perumahan, pusat perniagaan dan institusi pendidikan dengan jumlah pengguna yang sangat tinggi seramai 289,282 orang sehari.
Media sosial menjadi tempat pengguna LRT meluahkan rasa kecewa kerana mereka tidak lagi mampu merancang perjalanan dengan yakin. Mereka keluar rumah lebih awal, namun masih berisiko tiba lewat ke destinasi.
Hakikatnya Laluan Kelana Jaya mula beroperasi pada 1 September 1998 dan kini sudah menghampiri usia tiga dekad. Ini bermakna sebahagian sistem dan aset yang digunakan telah berkhidmat selama hampir 30 tahun.
Apabila usia sesebuah sistem pengangkutan semakin meningkat, risiko kerosakan teknikal juga meningkat.
Komponen yang haus, alat ganti yang semakin sukar diperoleh dan kos penyelenggaraan yang bertambah merupakan cabaran yang tidak dapat dielakkan.
Rapid Rail dalam satu sidang akhbar baru-baru ini ada memaklumkan, bahawa tren baharu pertama akan tiba di laluan Kelana Jaya pada tahun 2029 dan diganti sepenuhnya pada 2031.
Jadi, fokus Utama Rapid Rail ketika bagi mengelakkan sebarang gangguan teknikal pada semua tren dan keselamatan pengguna.
Walaupun usaha penyelenggaraan dipertingkatkan, penumpang tetap mahukan satu penyelesaian yang lebih menyeluruh.
Kita perlu memahami bahawa pengangkutan awam bukan sekadar kemudahan tambahan. Bagi ramai rakyat, ia merupakan keperluan harian terutama ke tempat kerja dan sekolah setiap hari.
Dalam keadaan tidak luar jangka yang berlaku pengguna yang terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk menaiki e-hailing apabila gangguan berlaku secara tiba-tiba. Itu yang membuatkan ramai yang marah.
Mereka memilih pengangkutan awam kerana ia lebih menjimatkan, tetapi gangguan berulang menyebabkan mereka terpaksa mencari alternatif yang lebih mahal.
Akhirnya, isu LRT Kelana Jaya bukan sekadar soal tren rosak atau kelewatan perjalanan. Ia adalah soal keyakinan rakyat terhadap sistem pengangkutan awam negara.
Jika Malaysia mahu menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam perkhidmatan itu perlu diberi keutamaan sebelum tren baharu sampai pada 2029 nanti.
















