SETIU – Kegiatan sebuah kilang memproses kayu dipercayai beroperasi secara haram menggunakan balak mencurigakan diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Bukit Lawang, Hulu Nerus, di sini semalam.
Serbuan pada pukul 11 pagi itu berjaya merampas pelbagai peralatan termasuk kayu balak dianggarkan bernilai RM2.03 juta.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan sama, pihaknya menahan 10 lelaki termasuk empat warga Indonesia dan seorang Permastautin Tetap dipercayai bekerja di kilang tersebut.
Katanya, kesemua mereka gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah bagi menjalankan aktiviti memproses kayu.
“Kita percaya kilang memproses kayu tersebut beroperasi secara haram. Pemeriksaan turut menemukan sejumlah timbunan kayu dipercayai tidak bercukai yang disorokkan di kawasan berhampiran berstatus tanah persendirian,” katanya hari ini.
Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mengesyaki kayu-kayu balak tersebut dibeli secara tunai daripada orang tengah tanpa rekod rasmi.
Tambahnya, modus operandi tersebut dipercayai bagi mengelak pengesanan dan semakan kewangan oleh pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE














