SEPANG – Seorang wanita berusia 44 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh wanita warga Indonesia di sebuah apartmen di Bandar Sunsuria, awal bulan ini.
Tertuduh, Chin Siaulan hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Chin Siaulan didakwa membunuh wanita dikenali sebagai Puteri di sebuah rumah di Bandar Sunsuria di sini pada pukul 2.31 petang, 3 Jun lalu.
Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, V. Luvithaa memohon satu tarikh sebutan baharu sementara pihak pendakwaan melengkapkan beberapa dokumen termasuk laporan bedah siasat.
Tiada jaminan ditawarkan ke atas tertuduh yang diwakili peguam V. Ayasamy. Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Julai ini. – KOSMO! ONLINE














