JEMPOL – Di sebalik suasana sunyi dan redup, Tugu Peringatan Sungai Lui di sini menyimpan sejarah hitam yang mengorbankan lebih 300 penduduk ketika penjajahan Jepun lebih lapan dekad lalu.
Tugu yang dibina pada 2000 bagi memperingati mangsa pembunuhan beramai-ramai itu dikatakan kurang dikenali walaupun mempunyai nilai sejarah yang tinggi buat kampung dan negara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Felda Sungai Lui, Asrul Azmi Othman, ramai pengguna jalan raya dari Kemayan, Pahang ke Bahau, tidak menyedari kewujudan tugu tersebut kerana lokasinya agak sunyi.
“Peristiwa (bunuh) itu merupakan satu sejarah penting kepada kampung ini. Ia melibatkan pembunuhan beratus-ratus orang Cina oleh tentera Jepun ketika zaman perang.
“Bagi penduduk, tugu ini bukan sekadar monumen, tetapi lambang untuk mengingati peristiwa yang berlaku suatu ketika dahulu agar tragedi sama tidak berulang lagi,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, usaha mempromosikan lokasi bersejarah itu wajar diteruskan supaya lebih ramai generasi muda mengetahui peristiwa yang berlaku di Sungai Lui.
“Sejarah seperti ini perlu diuar-uarkan supaya orang muda dapat memahami pengorbanan dan kesengsaraan yang dilalui generasi terdahulu. Pada masa sama, ia menjadi peringatan akan kepentingan menjaga perpaduan antara kaum,” ujarnya.
Asrul Azmi berkata, mengikut cerita penduduk asal, terdapat juga kisah beberapa mangsa berketurunan Cina yang diselamatkan keluarga Melayu dan diberikan perlindungan serta makanan ketika melarikan diri dari tentera Jepun.
Berdasarkan maklumat yang tertera pada tugu, kejadian berlaku pada 8 Oktober 1942, apabila Jepun yang berpangkalan di Kuala Pilah mengarahkan para tenteranya untuk melancarkan sekatan di jalan-jalan utama di Sungai Lui.
Mereka diarahkan supaya membunuh orang Cina tanpa mengira umur, namun hanya sebahagian yang dapat menyelamatkan diri. Bilangan mangsa yang terkorban adalah seramai 368 orang.
Sebelum kejadian itu, kira-kira 1,000 orang Cina melarikan diri ke kawasan pendalaman Sungai Lui dan mereka hidup dalam keadaan aman serta tenteram.
















