fbpx
KANSER tiroid boleh dikesan melalui tanda-tanda awal seperti benjolan di leher. – Gambar hiasan

Kanser tiroid boleh berlaku tanpa ada gejala jelas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kelenjar tiroid ialah organ berbentuk ‘rama-rama’ yang terletak di pangkal leher manusia. Ia berperanan mengawal metabolisme, tenaga serta suhu badan manusia.

Namun, organ ini sering tidak diberi perhatian apabila diserang kanser sehingga keadaannya ketara.

Kanser tiroid merupakan salah satu penyakit yang mempunyai kadar rawatan paling tinggi, namun masih kurang dibincangkan di Malaysia.

Menurut data Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021, kanser tiroid menduduki tempat kelapan dalam senarai kanser paling lazim dalam kalangan wanita, dengan kadar 4.2 per 100,000 populasi.

Malah, wanita lebih terkesan oleh kanser tiroid berbanding lelaki, dan para penyelidik mempercayai faktor hormon terutama estrogen memainkan peranan dalam keadaan ini.

Walaupun kajian makmal mencadangkan bahawa estrogen mungkin merangsang pertumbuhan sel tiroid, namun kajian populasi berskala besar masih belum menemui kaitan jelas antara hormon ini dan peningkatan risiko kanser tiroid.

Kanser tiroid sering dianggap sebagai ancaman senyap kerana boleh berlaku tanpa menunjukkan sebarang gejala jelas.

Dalam kebanyakan kes, kanser tiroid dapat dikenal pasti melalui tanda-tanda awal seperti benjolan di leher dan perubahan pada suara.

Walaupun tahap kesedaran masyarakat terhadap kanser tiroid semakin meningkat dan lebih banyak kes dapat dikesan pada peringkat awal melalui saringan kesihatan, namun terdapat kekeliruan antara kanser tiroid dengan penyakit tiroid lain seperti hipotiroidisme dan goiter.

Kekeliruan ini sering menyebabkan kelewatan dalam mendapatkan atau memulakan rawatan sesuai.

Pakar Bedah Payudara dan Endokrin di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Wong Mei Wan berkata, kelenjar tiroid menghasilkan hormon tiroksin yang penting dalam proses metabolisme tubuh.

Katanya, penghasilan tiroksin yang berlebihan boleh menyebabkan seseorang berasa gelisah dan terlalu bertenaga, manakala kekurangan hormon ini boleh mendorong rasa sejuk, letih dan lesu.

“Hakikatnya, kanser tiroid tidak ada kaitan dengan hormon. Kebanyakan pesakit kanser tiroid mempunyai fungsi tiroid normal.

“Kanser biasanya ketumbuhan fizikal atau nodul dalam kelenjar. Kanser tiroid tidak menyebabkan hipertiroidisme atau hipotiroidisme dan penyakit tersebut juga tidak semestinya membawa kepada kanser tiroid,” katanya.

Ujarnya lagi, diagnosis biasanya bermula apabila pesakit menyedari terdapat benjolan keras di leher.

“Gejala lain yang mungkin termasuk perubahan suara, kesukaran menelan atau nodus limfa yang bengkak. Tidak semua nodul adalah kanser,” ujarnya.

Dr. Mei Wan turut menyatakan bahawa ultrabunyi dan biopsi boleh membantu membezakan antara benigna dengan malignan.

Tidak seperti kanser-kanser lain, kanser tiroid di Malaysia tidak berkait rapat dengan faktor gaya hidup seperti merokok. Namun begitu, sejarah keluarga boleh menjadi faktor.

“Terdapat beberapa jenis kanser tiroid yang disebabkan genetik, bukan semua. Kami hanya menguji apabila terdapat sejarah keluarga ketara,” katanya.

Sementara itu, trend global menunjukkan bahawa kira-kira dua per tiga pesakit tiroid adalah wanita.

Menurut Pakar Perubatan Nuklear di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Tan Teik Hin, kebanyakan kes kanser tiroid kini dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia pada tahap satu melalui program saringan kesihatan.

“Jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu, kebanyakan kes tiroid ketika itu hanya dikesan di tahap akhir, terutama tahap tiga atau empat.

“Perubahan ini merupakan perkembangan yang sangat menggalakkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, kira-kira 85 peratus kanser tiroid merebak dengan perlahan, terutama jenis papilari atau folikel yang kebiasaannya bertindak balas dengan baik terhadap rawatan.

Katanya, sebaik sahaja kanser mencapai peringkat empat dan sudah merebak ke paru-paru atau tulang, kadar kelangsungan hidup (survival rate) menurun kepada bawah 50 peratus.

“Rawatan biasanya bermula dengan pembedahan. Setelah tumor dibuang, kami periksa betapa agresifnya tumor tersebut.

“Jika berisiko tinggi, kami biasanya akan membuat tindakan susulan dengan terapi oiodin radioaktif (RAI),” jelasnya.

Beliau menambah, RAI membantu rawatan dan diagnosis dengan menyingkirkan sebarang sel kanser yang tinggal.

Bagi tumor kecil di bawah satu sentimeter, pembedahan sahaja mungkin sudah memadai.

Sementara itu, beliau memaklumkan, bagi pesakit yang bimbang tentang radiasi, Iodin radioaktif adalah sama secara kimia seperti iodin semula jadi dalam badan.

“Ia selamat, diterima dengan baik, dan jarang menyebabkan alahan. Perkataan ‘radioaktif’ ini yang selalunya membawa kebimbangan. Tetapi, ia langsung tidak sama seperti terapi radiasi pancaran luaran.

“Walaupun hasil rawatan biasanya baik, namun kesan boleh berlaku, biasanya pada nodus limfa, walaupun bertahun-tahun kemudian. Itulah sebabnya pemeriksaan susulan jangka panjang kritikal,” katanya.

Selepas pembedahan, pesakit biasanya memerlukan penggantian hormon tiroid seumur hidup.

Untuk pesakit tahap satu dan dua, Dr. Teik Hin mengesyorkan pemeriksaan setiap enam bulan selama dua tahun, kemudian setiap tahun sehingga lima tahun.

Selepas itu, pemeriksaan susulan boleh dibuat berdasarkan keselesaan dan risiko.

Ubat seperti penghalang kinase tirosin (TKIs) memberikan pilihan baharu untuk kes di peringkat lanjut atau kes resisten.

“Ia digunakan apabila RAI tidak lagi berkesan. Ia mengecutkan tumor sebelum pembedahan atau menguruskan penyakit metastasis. Namun, kesan sampingan seperti keletihan, masalah kulit, proteinuria atau hipertensi mesti dipantau,” ujarnya.

Walaupun saringan tiroid tidak dilakukan secara rutin di Malaysia, namun kedua-dua doktor bersetuju pendidikan di peringkat awam tetap penting.

“Jika anda merasakan benjolan berterusan di leher, pergilah periksa dengan cepat. Ultrabunyi dan ujian darah mudah, boleh diakses, dan boleh dilakukan di kebanyakan klinik,” ujar mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN