ROMPIN – Tekad mengubah nasib keluarga mendorong anak seorang pemandu Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di sini berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.
Mohamad Noor Syaaban Mohd Zaimi,20, berkata, meskipun mendapat tawaran melanjutkan pengajian selepas mendapat keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia bertekad untuk mengambil STPM selepas dorongan bapanya yang mahu dia menjadi seorang guru.
“Saya memang hendak menolong emak dan ayah dan memenuhi harapan mereka menyambung pengajian, ayah hendak sangat tengok anaknya menjadi guru. Saya juga mahu memenuhi harapan ayah yang mahukan saya mendidik anak bangsa,” katanya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin di sini hari ini.
Mengulas mengenai resepi kejayaannya dia berkata dia membuat jadual belajar sendiri dan sentiasa memberikan tumpuan kepada pengajaran.
Katanya dia juga akan bertanya guru sekiranya ada mata pelajaran diajar yang kurang difahaminya selain sentiasa menghormati guru.
“Saya guna kaedah ‘study smart’ dan menumpukan perhatian semasa guru mengajar serta sentiasa berdoa kepada Allah,” katanya.
Sementara itu Mohd Zaini Ahmad,57, berkata, keputusan yang diterima anaknya hari ini adalah merupakan detik paling bermakna dalam hidupnya.
Katanya, dia mahu melihat anaknya itu mencipta kejayaan dan berjaya dalam kehidupan. – KOSMO! ONLINE














