fbpx
Isu kesahtarafan anak itu termaktub di dalam akta yang terikat dengan undang-undang sedia ada bagi setiap negeri-negeri di Malaysia. - Gambar hiasan

Persoalan mengenai bin, binti anak luar nikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAYA ada anak, namun tidak di’bin’kan atas nama saya. Memang semua orang ada sejarah silam, tetapi adakah hukuman itu harus saya tanggung sampai mati? Anak saya sudah ingin bersekolah. Perkara ini akan memberi kesan negatif apabila anak saya di sekolah. Apakah yang perlu saya lakukan?

JAWAPAN: TIDAK dapat dinafikan bahawa zina adalah salah satu dosa besar yang disebutkan oleh Nabi SAW melalui hadis Baginda. Begitu banyak hadis mengenai kecaman bagi mereka yang melakukan zina yang mana tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjauhkan umat Islam daripada perbuatan jijik dan kotor tersebut.

Di dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman:“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Isra’: 32)

Al-Imam al-Qurtubi Rahimahullah menyebutkan di dalam tafsirnya bahawa zina ini boleh membawa kepada neraka dan ia adalah salah satu daripada dosa besar (al-Kabair).

Tidak ada khilaf padanya, lebih-lebih lagi jika melakukan zina dengan isteri jiran.

Dalam sebuah hadis pula, daripada Abdullah RA yang mana beliau telah bertanyakan kepada Rasulullah SAW: Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah SWT? Jawab

Baginda: “Kamu menjadikan Allah sebagai seterumu sedangkan Dia-lah yang menciptakan kamu.”

Aku telah berkata: “Sesungguhnya itu adalah dosa yang besar.” Kataku lagi: “Kemudian dosa apa lagi?” Jawab Baginda: “Kemudian kamu membunuh anakmu takut anakmu itu berkongsi makanan denganmu.” Aku berkata lagi: “Kemudian dosa apa lagi?” Jawab Baginda: “Kamu berzina dengan isteri jiranmu.” (Riwayat Al-Bukhari, 7520)

Begitulah petunjuk Nabi SAW yang meletakkan dosa berzina ini dalam kalangan dosa-dosa besar selepas syirik dan membunuh. Ini menunjukkan betapa seriusnya perbuatan zina sehingga boleh memporak-perandakan kehidupan seseorang.

Menurut Akta 303 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 melalui Seksyen 2, tafsiran anak ‘tidak sah taraf’ diertikan sebagai anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan anak daripada persetubuhan syubhah.

Begitu juga melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-44 bersamaan 25 Jun 1998 yang lebih terperinci dalam mendefinisikan anak tidak sah taraf.

Pertama, anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol, dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.

Kedua, anak yang dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

Ketiga, anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut.

Oleh itu, mereka tidak boleh mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Wilayah Persekutuan melalui majlis fatwanya juga telah menjelaskan dengan menyebutkan: “Kalau anak dalam kandungan itu lahir setelah lebih enam bulan dari tarikh ibunya bernikah dengan lelaki itu, maka lelaki itu dikira sebagai anak yang sah taraf dan boleh dinasabkan kepada lelaki itu (suami ibunya), walaupun anak itu lahir hasil daripada perzinaan.”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali pertama yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 telah membincangkan

Penamaan Anak Tak Sah Taraf (Anak Luar Nikah).

Muzakarah telah memutuskan bahawa anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan ibu bapanya atau tidak, hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah.

Kesimpulannya, berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, kami melihat bahawa isu kesahtarafan anak itu termaktub di dalam akta yang terikat dengan undang-undang sedia ada bagi setiap negeri-negeri di Malaysia.

Akta atau enakmen tersebut perlulah dipatuhi kerana ia telah diwartakan.

Disebabkan itu, isu ini perlu dilihat dari sudut perundangan agar ia dapat ditangani dengan lebih baik serta cermat tanpa terdapatnya percanggahan antara satu sama lain.

Rujuklah juga Jabatan Pendaftaran Negara dan juga mahkamah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN