JELEBU – Rutin mengulang kaji pelajaran setiap kali pulang dari sekolah menjadi antara rahsia kejayaan seorang pelajar luar bandar apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang 4A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Nur Aisyah Roshdan, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Undang Musa Al-Haj, Jalan Pertang, Kuala Klawang berkata, keputusan itu melangkaui jangkaannya kerana pencapaian dalam peperiksaan percubaan sebelum ini tidak begitu memberangsangkan.
“Ada kalanya keputusan saya meningkat dan ada kalanya menurun. Sebab itu saya benar-benar tidak menyangka akan memperoleh 4A. Keputusan percubaan juga tidak setinggi keputusan sebenar, jadi saya sangat bersyukur dengan pencapaian ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut pelajar aliran Sains Sosial itu, dia tidak mengikuti mana-mana kelas tuisyen, sebaliknya bergantung kepada usaha, bantuan guru dan perbincangan bersama rakan-rakan termasuklah latihan kendiri.
“Jika ada topik yang kurang difahami, saya akan berbincang dengan rakan-rakan melalui kumpulan belajar. Guru-guru juga banyak membantu sepanjang tempoh persediaan menghadapi peperiksaan,” katanya. – KOSM! ONLINE














