KLANG – Pertumbuhan volum kontena di Pelabuhan Klang mencatatkan peningkatan empat peratus pada suku pertama tahun ini meskipun berdepan krisis geopolitik Asia Barat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pencapaian itu melebihi jangkaan banyak pihak yang sebelum ini meramalkan aktiviti eksport dan import negara akan terjejas susulan ketegangan perang di rantau berkenaan.
“Prestasi suku pertama sangat baik dengan pertumbuhan empat peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Angka itu agak positif dan melebihi jangkaan.
“Ramai menjangkakan perdagangan serta aktiviti eksport dan import akan berkurangan akibat konflik di Asia Barat, namun kita berjaya mengharungi cabaran tersebut dengan baik,” katanya pada sidang akhbar di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Indah di sini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan pra-pelancaran Wisma Golden Horse, Q Centre @ PKFZ Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ), pembukaan Kilang Suntek Materials Sdn. Bhd. serta Kilang Golden Horse Rubber Fasa 2.
Anthony Loke memaklumkan perkembangan terkini berkaitan gencatan senjata dan usaha perdamaian di Asia Barat memberi petunjuk positif kepada sentimen perdagangan global.
“Sekarang sudah ada berita positif mengenai gencatan senjata dan usaha perdamaian. Kita harap keadaan ini dapat dikekalkan. Jika sentimen global terus bertambah baik, saya yakin perdagangan negara akan meningkat dan eksport Malaysia juga akan terus berkembang,” ujarnya.
Mengulas mengenai peluang pekerjaan kepada pesara tentera bagi memenuhi keperluan tenaga mahir, Anthony Loke memaklumkan Memorandum Persefahaman telah ditandatangani antara PKFZ dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dua minggu lalu.
“Bagi fasa pertama ini, syarikat Golden House sahaja telah menawarkan 500 peluang pekerjaan. Kalau Perhebat, boleh bagi 500 nama daripada pesara, serta-merta ada kerja di PKFZ ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














