PETALING JAYA – Ramai daripada rakyat Malaysia berhasrat untuk tidak meneruskan potongan wang simpanan mereka kepada badan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam pelarian Rohingya susulan pelbagai isu hangat ketika ini.
Tinjauan di media sosial mendapati, mereka juga mahu menukar potongan sumbangan mereka kepada NGO tempatan bagi membantu rakyat Malaysia yang lebih memerlukan seperti anak-anak yatim, pesakit kanser, warga emas dan sebagainya.
Seorang pengguna Thread Nurdini Olivia menerusi hantarannya mencadangkan beberapa NGO tempatan yang aktif dan dipercayai untuk membuat sumbangan tersebut.
“Wahai rakyat Malaysia, tolonglah sokong Majlis Kanser Negara (Makna), Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Hospis Malaysia (perkhidmatan penjagaan paliatif), Mercy Malaysia, Ronald McDonald Children House dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia untuk orang-orang kita. Ini adalah satu panggilan untuk kita,” katanya.
Ia mendapat pelbagai maklum balas pengguna Thread rakyat Malaysia yang bersetuju dengan tindakan tersebut selepas isu Rohingya hangat ketika ini termasuk dakwaan kebiadaban aktivis Rohingya, Noor Azizah yang kini tinggal di Australia.
“Buah pinggang tu memang saya bagi sebab dekat Malaysia ni kasihan. Ramai orang tak mampu nak dialisis dan niat untuk orang kita sahaja,” komen pengguna Thread Popqish.
“Betul, sebagai staf Kementerian Kesihatan, NKF dan Makna perlukan banyak yang boleh sumbang. Kasihan semua pesakit. Pesakit buah pinggang, dalam seminggu ada tiga kali perlu buat dialisis. Banyak kos lain nak tanggung juga, kos ulang-alik nak pergi hospital pun dah sangat membebankan,” komen seorang pengguna Thread.
“Saya bertahun-tahun sumbang ke Mercy Malaysia dan nampak kerja-kerja mereka sama ada banjir, bencana alam, malah mereka hantar doktor ke Gaza. Mereka juga berdaftar untuk pengecualian cukai,” komen Privateacctlagilaaa. – KOSMO! ONLINE














