fbpx
SEORANG tukang gunting rambut maut dalam kemalangan melibatkan motosikal dan kereta di Bulatan Ayer Leleh, Melaka, pagi tadi.

Tukang gunting rambut maut digilis kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang tukang gunting rambut maut selepas motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah kereta sebelum digilis sejauh kira-kira 25 meter dalam kemalangan di Bulatan Ayer Leleh di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa yang berusia 28 tahun meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda RSX 150 dalam perjalanan dari arah Bukit Cina menghala ke Semabok.

Menurut beliau, sebuah kereta jenis Omoda 9 yang dipandu lelaki berusia 64 tahun pula datang dari arah Bukit Serindit menuju ke arah sama.

“Sebaik tiba di bulatan tersebut, pemandu kereta dipercayai tidak menyedari kehadiran motosikal mangsa yang berada di sebelah kanan lalu melanggarnya. Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dan digilis kira-kira 25 meter sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Pemandu terbabit ditahan bagi membantu siasatan selain ujian darah dan air kencing turut dijalankan.

“Kedua-dua kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut di Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) Rembia, Alor Gajah. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN