fbpx
Ikan kerandang pertama yang penulis dapat ketika trip berkayak di Tasik Raban tempoh hari (kiri).

Buru toman bunga dari atas kayak di Tasik Raban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tasik Raban di Lenggong, Perak bukan sekadar sebuah tasik biasa. Perairan ini digelar Mini Amazon dan cukup terkenal dalam kalangan kaki pancing kerana keindahan alam semula jadinya serta kepelbagaian spesies ikan pemangsa terutamanya kerandang atau nama lainnya toman bunga.

Tasik buatan manusia ini terbentuk hasil pembinaan Empangan Chenderoh pada tahun 1928, empangan hidroelektrik pertama di Malaysia yang menyekat aliran Sungai Perak.

Dengan keluasan sekitar 25.9 kilometer persegi, Tasik Raban memiliki struktur muka bumi unik yang terdiri daripada alur sempit di celah bukit, pulau kecil, kawasan samai serta tunggul-tunggul kayu mati yang kini menjadi syurga kepada ikan pemangsa air tawar.

Pada hari ini, Tasik Raban semakin dikenali sebagai destinasi rekreasi dan memancing utama di Perak. Wujudnya Jambatan Raja Muda Nazrin yang menghubungkan Kuala Kangsar ke Lenggong dan Gerik turut menjadikan kawasan ini lebih mudah diakses oleh pengunjung.

Bagi pengguna kayak yang turut menggilai aktiviti mengilat gewang, tasik ini mempunyai daya tarikannya tersendiri terutamanya profil pera­irannya yang terhasil daripada bentuk muka bumi.

Struktur heavy cover seperti reba kayu, pokok tumbang dan rumpair serta samai menjadikan tasik ini lokasi ideal untuk memburu spesies ikan pemangsa seperti toman, se­barau, haruan, belida dan kerandang.

Selain itu, tasik ini dihuni spesies ikan pendatang iaitu peacock bass atau lebih dikenali dalam kalangan penduduk sekitar sebagai ikan raja.

Ikan kerandang

Namun bagi saya, sasaran utama trip berkayak kali ini adalah spesies ikan yang dianggap agak misteri dan sukar dipancing iaitu kerandang atau nama saintifiknya Channa marulioides.

Ikan kerandang ini turut dikenali dengan pelbagai nama tempatan seperti toman bunga, jelai, jaloi atau kuang.

Ikan kerandang sering disalah anggap sebagai haruan kerana bentuk profil badan dan kepalanya yang hampir sama.

Pemandangan di kawasan jeti Tasik Raban, tempat kami menurunkan kayak.

Namun, jika diperhatikan dengan teliti, spesies ini memiliki corak yang jauh lebih cantik dan eksotik. Pada bahagian sisi badannya terdapat corak bulatan hitam berbingkai kuning keemasan seakan motif bunga atau mata.

Warna asas badannya pula gelap di bahagian atas dan kekuningan di bahagian bawah, terutama apabila hidup di kawasan air jernih.

Ditambah dengan mata berwarna merah atau jingga, ikan ini dianggap antara spesies ikan bak kepala ular (snakehead) tercantik di Malaysia dan sering menjadi ikan idaman peminat dunia akuarium.

Di habitat asalnya, kerandang gemar mendiami kawasan berair tenang dan berpaya gambut yang warnanya airnya kehitaman serta kurang tercemar.

Spesies ikan ini juga dikaitkan dengan kawasan pH rendah yang kaya dengan struktur semula jadi. Selain di Perak, ia turut ditemukan di beberapa negeri lain seperti Pahang, Terengganu, Johor dan Selangor.

Dari segi tingkah laku, kerandang adalah pemangsa yang sangat agresif dan bersifat kewilayahan (territorial). Ia tidak gemar kawasan yang dicerobohi spesies lain, terutama ikan spesies snakehead yang lain.

Diet utamanya terdiri daripada anak ikan, udang, serangga, reptilia kecil dan mamalia kecil yang jatuh ke permukaan air.

Saiz dewasanya boleh mencecah lebih 60 sentimeter. Mengikut kajian saintifik, dikatakan ketika musim tengkujuh, spesies ini akan membiak apabila paras air meningkat dan suhu air menurun.

Pasangan induk akan membina ‘sarang’ daripada tumbuhan akuatik, ranting kayu serta daun kering bagi melindungi telur daripada dihanyutkan arus dan ancaman ikan pemangsa
lain.

Menariknya, kedua-dua induk jantan dan betina mempunyai sifat penjagaan anak yang sangat ketat. Selepas telur menetas, anak-anak akan berenang dalam satu kelompok besar sambil dikawal rapi oleh induknya sehingga mampu berdikari.

Unik

Dalam dunia pancingan, ikan kerandang dianggap spesies unik atau rare dan sangat mencabar untuk dipancing terutamanya digoda dengan gewang.

Walaupun sama di satu perairan, namun tidak semua lokasi dihuni po­pulasi spesies ini, jadi peman­cing harus mengesan dan mencari habi­tatnya. Ini menjadikan setiap ekor kerandang dipancing, satu kepuasan yang sukar digambarkan.

Ikan kerandang gemar bersembunyi di celah-celah kayu, bawah pokok yang rendang dan tepi-tepi tebing cetek, sebelum menyergap mangsanya.

Jadi, teknik yang popular digunakan adalah mengilat menggunakan gewang permukaan yang kalis sangkut (weedless) seperti soft frog atau soft plastic.

Antara kaedah mujarab yang sering diamalkan adalah membaling gewang ke darat atau tebing terlebih dahulu sebelum menariknya perlahan masuk ke dalam air bagi meniru pergerakan haiwan kecil terjatuh.

Karauan perlahan serta sentakan kecil selalunya mampu menaikkan naluri serangan spesies ikan ini.

Waktu paling aktif untuk memburu kerandang dipercayai sekitar awal pagi antara pukul 6.30 hingga 9 pagi serta lewat petang sekitar 5.30 hingga 7 malam.

Bagi aspek peralatan pula, penggunaan joran berkekuatan 8-17lb atau 10-20lb, fast action atau medium heavy amat sesuai untuk menghadapi tentangan ikan ini di kawasan bereba.

Kekili baitcaster saiz 100-200 atau spinning saiz 2000-3000 dengan sistem drag sekurang-kurangnya lima kilogram juga disyorkan.

Penggunaan tali sulam 20-30lb dan perambut antara 30-40lb pula penting bagi menahan geseran kayu mati dan struktur bawah air yang kasar.

Dalam habitat sebegini, kelewatan mengawal ikan selepas tercangkuk mata kail sering menjadi punca rabut.

Berkayak di Tasik Raban sambil memburu kerandang sememangnya merupakan pengalaman yang menakjubkan sambil mendekati alam liar.
Perasaan yang sukar diterjemahkan di dalam kata-kata.

Dalam suasana tasik berkabus, bunyi unggas hutan dan suasana kehijauan hutan tropika, setiap kayuhan menyelusuri tasik seolah-olah membawa pemancing menelusuri sebuah dunia tersembunyi yang penuh misteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN