fbpx
Tangkap layar video kejadian kemalangan berlaku di Jalan Lagoon Selatan, hari ini.

Penunggang motosikal dirempuh kereta langgar lampu merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Tindakan seorang wanita warga Iran dipercayai melanggar lampu isyarat merah menyebabkan seorang penunggang motosikal cedera dalam kemalangan di Jalan Lagoon Selatan di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 10.30 pagi dan siasatan awal mendapati nahas melibatkan kereta Proton Saga dan motosikal Yamaha Y16 yang ditunggang lelaki tempatan berusia 24 tahun.

“Siasatan mendapati kereta Proton Saga yang dipandu wanita berusia 32 tahun dari arah Jalan Lagoon Selatan menuju Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dipercayai melanggar lampu isyarat merah.

“Tindakan itu menyebabkan kereta tersebut melanggar motosikal Yamaha Y16 yang sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal cedera di bahagian kaki dan pinggang sebelum dihantar ke Hospital Shah Alam bagi mendapatkan rawatan. Pemandu kereta bagaimanapun tidak cedera.

Wanita itu tampil membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Subang Jaya di talian 017-3012621. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN