GERIK – Seorang suri rumah berdepan detik mencemaskan apabila melihat sekumpulan gajah liar muncul di belakang rumahnya di Jalan Tok Bali, Kampung Bongor di sini, Khamis lalu.
Menurut Siti Rasidah Abd. Lateh, 43, kejadian itu berlaku pada pukul 7 pagi ketika dia berada di ruang dapur dan mendengar bunyi bising dari arah belakang rumahnya.
Katanya, dia pada mulanya berasa teruja melihat kemunculan haiwan liar itu sehingga bertindak merakam gambar dan video, namun perasaan tersebut bertukar cemas apabila kawanan gajah berkenaan mula bergerak menghampiri rumahnya.
“Dalam keadaan takut-takut, saya sebenarnya teruja untuk merakam video dan gambar. Cuma ketika gajah itu mula bergerak (ke arah rumah), saya cemas dan menjerit sehingga anak-anak terbangun.
“Kebetulan, ada beberapa anggota Perhilitan berhampiran rumah, jadi mereka segera datang dan bantu menembak haiwan itu menggunakan ubat pelali,” katanya ditemui semasa operasi pemindahan gajah liar di Kampung Bongor, di sini hari ini.
Menurut Siti Rasidah, malam sebelum kejadian, dia sudah mendengar tempikan gajah di kawasan berhampiran bermula kira-kira pukul 7 malam hingga 12.30 tengah malam.
Katanya, dia bagaimanapun terkejut apabila bunyi tempikan itu berselang-seli dengan pokok pisang tumbang yang kedengaran terlalu hampir dengan kediamannya.
“Suami dan anak saudara cuba baling mercun untuk menghalau haiwan itu namun kumpulan gajah itu tidak berganjak langsung.
“Suami beritahu mungkin ada berbelas ekor gajah di kawasan kebun getah dan pisang itu. Jadi saya segera hubungi pihak Perhilitan untuk bantuan, bimbang perkara buruk terjadi kerana kawasan itu terlalu hampir dengan rumah penduduk,” katanya.
Tambahnya, kemunculan gajah liar di kampung berkenaan bukan perkara baharu, malah penduduk sebelum ini turut berdepan ancaman harimau yang berkeliaran di kawasan tersebut.
“Awal tahun ini, adik ipar saya membuat aduan selepas lembu ternakannya dibaham harimau. Malah, tiga hari lalu, empat hingga lima ekor kambing pula menjadi mangsa haiwan pemangsa itu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Mohd. Taufik Abdul Rahman berkata, operasi kali ini melibatkan tangkapan 12 gajah liar di Kampung Bongor dan dua ekor lagi di Tanjung Rimbun, Kampung Bandariang.
Katanya, semua gajah yang dipindahkan secara berperingkat itu akan ditempatkan di habitat asal haiwan liar itu yang jauh dari penempatan manusia.-KOSMO! ONLINE.














