PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota tentera yang terkorban akibat terkena bom ketika menjalani latihan di lapang sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah hari ini.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda berharap agar keluarga mereka diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi saat yang sukar ini.
“Al-Fatihah buat dua anggota yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,’’ titah Seri Paduka Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sultan Ibrahim turut menitahkan ATM menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian serta memastikan aspek keselamatan sentiasa diberi perhatian dan diperkukuhkan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua anggota tentera yang maut akibat letupan bom di Kem Hobart pagi tadi ialah Koperal Norazmi Abu Bakar dan Prebet Siti Khadijah Sungip.
Tentera Darat Malaysia dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan insiden kira-kira pukul 10.57 pagi itu berlaku semasa Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Divisyen Kedua Infantri Malaysia.
Koperal Norazmi daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja dan Prebet Siti Khadijah daripada Skuadron Pertama RAJD mengalami kecederaan akibat letupan semasa latihan berkenaan.
Kedua-dua anggota telah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital – KOSMO! ONLINE














