TANJUNG MALIM – Kemunculan Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) dalam arena politik negara tidak menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk mendominasi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, penubuhan kedua-dua parti tersebut merupakan hak masing-masing dalam sistem demokrasi yang ditetapkan negara.
“Cuma kita perlu tahu bahawa matlamat dan tujuan itu. Sebagai contoh, ada yang mengatakan bahawa kalau parti ini ditubuhkan akan mengurangkan pengaruh sesuatu kaum ataupun akan menimbulkan lagi perpecahan.
“Tapi yang paling mustahak di peringkat Barisan Nasional, tumpuan kepada kawasan-kawasan yang nak kita tandingi dan insya-Allah kita tidak melihat ada kesan-kesannya kerana kita tahu Parti Bersama ditubuhkan tumpuan dia ke mana.
“Manakala Parti Wawasan yang baru ditubuhkan tentunya sedang memikirkan apa langkah-langkahnya,” katanya di di Bilik Diraja, Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan dua program dalam masa yang sama di universiti pendidikan tersebut iaitu Majlis Peluncuran Program Rintis Latihan Khidmat Negara (PKLN) 3.0 Peringkat Universiti Awam.
Katanya, BN telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi kedua-dua PRN tersebut.
“Saya yakin ia tidak memberi kesan kepada BN berdasarkan kepada tumpuan yang telah diberikan kepada gerak kerja yang telah pun diatur,” katanya. – KOSMO! ONLINE














