fbpx
Setiap pekerja asing memiliki hak untuk menerima upah yang sama tanpa sebarang diskriminasi. Gambar fail

Pekerja asing bukan hamba abdi majikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

VIDEO empat individu mengasari seorang amah selepas didakwa memukul anak majikannya yang masih kecil dalam satu kejadian di Johor Bahru minggu lalu terus mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Video memaparkan majikan menampar dan menumbuk wanita itu sehingga kedengaran suara tangisan itu turut disifatkan sebagai tindakan keterlaluan.

Dalam konteks ini, setiap pekerja asing layak dilayan secara berperikemanusiaan yang mana jika mereka terlibat dengan kesalahan tertentu, ia perlu diselesaikan secara tegas tanpa melibatkan kekasaran.

Menurut pensyarah Fakulti Syariah dan Undang- Undang Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Muzaffar Syah Mallow, hak pekerja asing perlu sentiasa dihormati dan dilindungi pada setiap masa.

Katanya, Artikel 23 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 menyatakan bahawa setiap individu ada hak untuk bekerja selain bebas mencari pekerjaan diingini, bekerja dalam suasana baik serta dilindungi daripada pengangguran.

“Artikel 23 berkenaan juga menyatakan bahawa setiap orang memiliki hak untuk menerima upah yang sama tanpa sebarang diskriminasi, menerima jumlah pendapatan sesuai bagi menampung kehidupan dirinya serta berhak untuk mendapatkan perlindungan sosial.

“Selain itu, Artikel 23 ini memperuntukkan hak setiap pekerja untuk membentuk dan menyertai persatuan melindungi hak mereka sebagai seorang pekerja,” katanya.

Artikel 23 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 ini bukan sahaja terpakai kepada pekerja tempatan semata-mata, malah turut terpakai kepada pekerja asing.

“Jadi, agak sedih untuk mendengar berita di mana pekerja asing terpaksa mengharungi pelbagai jenis salah laku daripada majikan sendiri serta persepsi negatif daripada masyarakat sekeliling.

“Antara masalah yang dihadapi oleh pekerja asing ini meliputi masalah penipuan, eksploitasi, penderaan, kemalangan di tempat kerja, pendedahan kepada kekotoran dan risiko penyakit serta penafian hak untuk menerima perlindungan,” katanya.

Jelasnya, masalah berbangkit itu seterusnya berupaya memberi kesan terhadap reputasi Malaysia di mata dunia.

“Adalah penting supaya setiap pekerja asing dalam negara kita menerima perlindungan yang sewajarnya sama seperti orang lain.

“Perkara 6 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa ‘tiada seorang pun boleh ditahan sebagai abdi, manakala Perkara 6 (2) Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan ‘bentuk kerja paksa adalah dilarang’,” jelasnya.

Susulan itu, pekerja asing tidak boleh dilayan sebagai hamba abdi serta memaksa mereka melakukan pekerjaan yang mereka tidak suka.

“Oleh itu, sebarang jenis salah laku atau penganiayaan yang dilakukan terhadap pekerja asing adalah dilarang sama sekali dalam negara kita.

“Tindakan undang-undang yang sewajarnya boleh diambil terhadap pihak yang didapati melakukan sebarang salah laku atau penganiayaan terhadap pekerja asing.

“Pekerja asing yang bekerja dalam negara kita juga memiliki hak untuk dapatkan perlindungi serta pampasan melalui peruntukan undang-undang yang ada seperti Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Industri 1967 serta Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN