MARANG – Gara-gara membelasah seorang pembantu kedai runcit warga Bangladesh yang disangka etnik Rohingya pada minggu lalu, dua lelaki masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Marang di sini, hari ini.
Majistret Nur Athirah Hashim menjatuhkan hukuman tersebut berikutan pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh, Muhammad Adi Putera Razali, 23, dan Tengku Muhammad Adam Ikhram Tengku Mohd. Faizullah, 21, yang masing-masing bekerja sebagai buruh dan tukang rumah selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Adi Putera dan Tengku Muhammad Adam Ikhram didakwa bersama-sama kecederaan Mohammad Kamrul Islam, 34.
Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di sebuah kedai runcit di Kampung Mak Kemas, Marang pada pukul 7.15 malam, 9 Jun lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kosmo! 10 Jun lalu melaporkan dua pemuda direman polis selepas dipercayai memukul seorang lelaki warga asing di sebuah kedai runcit di daerah ini. – KOSMO! ONLINE














