PETALING JAYA – Seorang wanita terkejut apabila mendapati karipap yang dibeli daripada seorang peniaga, diisi dengan inti sudah berkulat.
Menerusi hantaran video dan gambar pengguna TikTok Nikaada, karipap itu didakwa dibeli di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan.
“Aku ni malas nok (nak) kecek (cakap) huduh (buruk), tapi gak. Beli pagi tadi (semalam) dekat Pasar Siti Khadijah.
“Karipap hok zaman bilo (bila) lagi ni mok cik (mak cik) duk jual. Nasib baik aku ni jenis kekoh (buka) makanan dulu sikit pahtu (lepas tu) tengok baru makan,” katanya pada hantaran berkenaan.
Wanita itu memaklumkan telah melaporkan kejadian itu kepada Kementerian Kesihatan menerusi aduan emel.
Hantaran berkenaan mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai dan mereka mengecam penjual tersebut memandangkan boleh menyebabkan keracunan makanan.
“Karipap zaman Majapahit ke ni? Ada ore (orang) recycle (kitar semula) kuih lama rupanya. Ingatkan tak habis semua sedekah kokre (pada orang),” komen Adamdaniyal.
“Saya kena juga beli dodol dekat Pasar Siti Khadijah bulan puasa hari tu. Beli dodol tiga perasa, pergi pagi lepas berbuka nak makan rasa pelik. Tengah-tengah dah berkulat. Bukan satu berkulat, tiga-tiga dah naik kulat bahagian bucu plastik. Ralat sangat tak perhati betul-betul masa beli sebab masa tu tengah dukung anak,” komen Fieza.
“Dah pernah keno, beli kuih apam polkadot di Pasar Besar Siti Khadijah. Beli sebelah pagi niat hati nak bawa pergi rumah orang kenduri. Sampai tempat kenduri, saya buka nak letak atas meja, penuh naik kulat bintik-bintik. Tuhan lah tahu malunya saya kat tuan rumah. Jual kuih zaman bila lah,” komen Hazma. – KOSMO! ONLINE














